Subscribe:

Pages

Wednesday 15 February 2012

Rotavirus

JANGKITAN rotavirus menjadi punca gejala cirit birit dan muntah yang teruk di kalangan kanak-kanak dan bayi. Malah di seluruh dunia, dianggarkan 600,000 kanak-kanak pada purata usia 1.29 tahun maut setiap tahun akibat gastroenteritis dengan purata seorang kanak-kanak maut setiap satu minit.

Kira-kira 28 peratus kes berlaku di kalangan kanak-kanak berusia lima bulan ke bawah dan 43 peratus bayi berusia antara enam dan 11 bulan. Kajian di dalam negara pula menunjukkan seorang daripada 61 kanak-kanak berusia di bawah lima tahun dimasukan ke hospital, manakala seorang daripada 37 kanak-kanak mendapat rawatan pesakit luar akibat penyakit rotavirus.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Klinikal dan Hal Ehwal Perubatan GlaxosmithKline Singapura dan Malaysia, Dr. Teoh Yee Leong berkata, setiap tahun seramai 23,000 pesakit mendapatkan rawatan di hospital akibat jangkitan rotavirus dan lebih satu pertiga perlu dimasukan ke hospital. Rotavirus berada di mana-mana dan bayi menghadapi risiko jangkitan yang paling tinggi. Bayi yang dijangkiti mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit antara 10 hingga 20 kali sehari. Gastroenteritis rotavirus boleh menjadi serius secara tiba-tiba dan menyebabkan penyahhidratan,katanya.

Sementara itu, menurut Pakar Pediatrik Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Nasional Mexico, Dr. Raul Velasquez, cirit-birit akibat rotavirus biasanya dialami selama tiga hingga sembilan hari, tetapi boleh berlarutan sehingga tiga minggu. Katanya, rotavirus cepat berjangkit daripada seorang kanak-kanak kepada kanak-kanak lain.

Asalnya ia berpunca daripada najis yang mencemarkan air atau makanan dan sentuhan pada permukaan sesuatu objek seperti barang permainan. Virus ini boleh bertahan berjam lamanya pada tangan dan beberapa hari di atas permukaan keras. Apabila dijangkiti, kanak-kanak biasanya mengalami cirit birit berair antara 10 hingga 20 kali sehari, muntah, demam selama dua hingga tiga hari, sakit abdomen dan mengalami dehidrasi, Katanya

Beliau berkata, rotavirus cepat merebak walaupun mengamalkan tabiat kebersihan seperti mencuci tangan dan sebagainya. Bagaimanapun katanya, gejala tersebut kini boleh dicegah dengan Rotarix, satu-satunya vaksin rotavirus secara oral dua dos.

Vaksin ini diberikan kepada bayi berusia bawah enam bulan. Dos pertama diberikan apabila bayi berusia seawal enam minggu, manakala dos kedua seharusnya diberi menjelang usia 24 minggu.
Vaksin yang diberikan kepada bayi ini meniru rotavirus menyebabkan badan menganggap ia adalah jangkitan yang sebenar.

Ini menyebabkan badan bertindak balas dengan menjadikan tubuh lebih kebal untuk melindunginya daripada jangkitan, kata Dr. Velasquez ketika pelancaran Rotarix di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, vaksin ini telah diluluskan di Mexico pada 2004 dan turut dilancarkan di beberapa negara lain di Asia Pasifik.

Pada 15 Disember 2005 pula, ia menerima pandangan positif daripada Ahli Jawatankuasa Produk Perubatan bagi Penggunaan Manusia (CHMP), iaitu ahli jawatankuasa saintifik yang menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanannya di Kesatuan Eropah.

Dr. Velazquez, berkata kajian klinikal yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin dan Asia menunjukkan vaksin rotavirus selamat dan boleh diterima dengan baik oleh bayi. Berdasarkan kajian di Amerika Latin dan Finland, hampir semua bayi yang diberikan vaksin ini tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Sejumlah 31,673 daripada 63,225 kanak-kanak berusia 6 hingga 13 minggu yang terbabit dalam kajian ini diberikan vaksin, manakala 31,552 lagi diberikan placebo (cecair tanpa vaksin). Selepas beberapa hari, pemantauan menunjukkan penurunan risiko yang juga membuktikan mereka dilindungi daripada penyakit rotavirus,katanya.

Selain itu menurutnya, vaksin rotavirus mengurangkan hampir 42 peratus kes kemasukan kanak-kanak ke hospital, mengurangkan penyakit serius, mengurangkan risiko penyakit jangkitan usus dan melindungi bayi daripada dijangkiti.

Tuesday 7 February 2012

Sakit Kepala

Rasa sakit kepala boleh dialami oleh sesiapa saja tanpa mengira usia ataupun waktu. Kadangkala, anda sendiri tak pasti apakah punca sebenarnya. Menurut apa yang saya faham, sakit kepala ni berpunca dari sel-sel saraf dalam badan anda. Kepala anda terasa sakit apabila sel saraf ini dibangkitkan dan berlaku kerosakan pada tisu. Rasa sakit akan bertambah teruk jika semakin banyak tisu yang rosak.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan sakit kepala anda perlulah menghindari 7 punca utamanya seperti berikut:

1. Fikiran yang bercelaru atau tak menentu.

2. Duduk bertentangan dengan cahaya terang.

3. Memakai cermin mata yang tak sesuai dari segi "power".

4. Merenung atau melihat sesuatu benda dengan keadaan mata yang kabur atau kelabu.

5. Menghidap migrain, kencing manis, barah dan denggi.

6. Memakai pakaian yang kurang sesuai. Terutamanya yang agak ketat pada bahagian pinggang.

7. Memakai pewangi atau bau-bauan yang berlebihan.

Akhir sekali, sekiranya terlalu kerap mengalami sakit kepala kemungkinan besar ia adalah tanda anda mengalami barah otak. Pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut sebelum terlambat.




Monday 30 January 2012

Sejukkan Badan

Sekarang ini musim panas...minumlah banyak air... ia merupakan cara terbaik untuk menyejukkan badan dimusim panas ini. Malahan pakar pemakanan dan kesihatan menyarankan agar air diminum sebelum anda mula rasa dahaga. Oleh itu sebaiknya dimusim panas begini anda membawa sebotol air sebagai bekalan setiap kali keluar rumah. Jika dirumah pula, sediakan sebotol air dan letak ditempat yang mudah dilihat agar mudah untuk anda ingat dan minum setiap kali perlu.
Selain dari minum air secara terus, cara lain bagi menyejukkan badan ialah dengan cara mengambil minuman dan makanan berikut :
1. Ambil buah-buahan dan sayuran yang mengandungi banyak air
Antara buah-buahan yang mengandungi banyak air ialah tembikai cina yang mengandungi 90% air, tembikai susu (honeydew), betik (mengandungi 91% air) dan nenas (84% air).  Kesemua buah-buahan ini adalah buah-buahan tropika yang memang mudah untuk kita dapatkan dan beli dimana-mana.
Bagi sayur-sayuran pula, timun, tomato dan lobak adalah baik untuk menyejukkan badan kerana ia mengandungi lebih dari 90% kandungan air. Anda juga digalakkan mengambil salad sebagai menu dihari panas bagi tujuan menyejukkan badan. Dan yang tidak kurang penting juga sayur-sayuran ini sememangnya bagus untuk diet yang sihat.
2. Minum jus buah-buahan
Bukan jus buah-buahan yang dah ditambah gula ye… tapi jus buah-buahan asli. Sebaiknya elakkan dari mengambil minuman bergas, beralkohol dan mengandungi gula yang tinggi.
3. Makan yogurt
Selain dari kaya dengan kalsium dan probiotik (untuk usus dan sistem penghadaman) yogurt juga sebenarnya boleh membantu menyejukkan badan anda.
Dan jangan lupa cuaca panas juga boleh menyebabkan anda sakit kepala. Bagi mereka yang ada migrain pula, waktu cuaca panas macam ni lah mudah untuk anda terkena serangan.


sumber: www.bengkungmoden.com

Sunday 1 January 2012

Baik Buruk anak Tidur Buaian

Doktor,

SAYA ada satu soalan ingin bertanyakan doktor. Anak yang kerap tidur buai, adakah ia elok untuk otaknya atau tidak?
Saya mempunyai seorang anak yang kini berusia dua tahun. Susah mahu menidurkannya. Jadi, setiap kali nak tidur, saya akan mengayunkan dia di dalam buai dahulu, baru boleh tidur.
Tidak kira siang atau malam, saya akan menggunakan buai untuk menidurkan anak saya itu. Selagi tak masuk dalam buai, dia tak nak tidur. Saya akan henjut buai dia dari setengah hingga satu jam, baru dia tidur.
Soalan saya doktor, adakah otak anak saya akan bergegar semasa saya mengayunkannya. Adakah memberikan kesan apa-apa kepadanya setiap kali saya membuainya dalam masa yang lama? Masalah ini amat merisaukan saya kerana saya bimbang, dia akan mengalami masalah dalaman otak.
Seperkara lagi doktor, anak saya apabila hendakkan sesuatu, dia suka menghantuk-hantukkan kepalanya ke lantai atau dinding. Sudah banyak kali dia menangis kerana perbuatannya itu.
Dia juga sangat aktif sehingga sekarang. Kadang-kadang, tingkah lakunya sukar dikawal, nak kita ikut cakap dia saja. Kalau tak ikut, mulalah anak saya itu mengamuk. Runsing saya memikirkannya doktor.
– ANITA

Anita,
Pernahkah puan mendengar lagu mendodoikan anak atau lullaby Inggeris Rock-a bye-baby yang berbunyi seperti berikut “When the bough breaks, the cradle will fall, down will come baby, cradle and all?”

Lagu ini menceritakan bagaimana buai itu patah dan jatuh ke bawah membawa bersamanya bayi sekali. Sememangnya tiada tempat yang lebih selamat untuk menidurkan bayi selain dari baby cot.
Buaian boleh menjadi satu punca kepada kecederaan kepala bayi dan boleh mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.
Penggunaan buai untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau subdural haemorrhage.
Hakikatnya, kebanyakan kes pendarahan otak subdural yang bukan melibatkan kes penderaan boleh dikaitkan dengan penggunaan buai.

Otak bayi sebenarnya terapung dalam tengkorak dan jika bayi digerakkan dengan kuat, otak akan bergerak pada hala yang bertentangan dengan tengkorak.
Akibatnya, saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak pecah menghasilkan pendarahan otak subdural.

Henjutan buai yang perlahan-lahan itu tidak berbahaya tetapi pergerakan melantun buai dengan springnya menghasilkan pergerakan atas bawah seolah-olah seperti menggoyang bayi dalam tangan dengan kuat, menghasilkan kecederaan yang sama.

Hayunan buai juga boleh mengakibatkan kepala bayi terhantuk dinding. Pernah berlaku di mana abang kepada bayi yang berumur dua tahun yang gemar menghayun buai tidak sedar kepala bayi sedang menghentak dinding.
Ada juga kes di mana rangka besi buai jatuh menghempap bayi dan juga spring atau tali putus.
Ada juga bahaya yang lain seperti tercekik atau strangulation. Bila bayi sudah mula memusing badan ia mungkin terjaga dari tidur, memusingkan mukanya ke bawah dan leher boleh tersepit dalam lipatan kain buai.

Hentak kepala (Head banging)
Apabila anak kita mula mengamalkan tabiat hentak/hantuk kepala, kita naik risau dan bimbang mungkinkah ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak.
Dua puluh peratus daripada kanak-kanak yang sihat melalui tabiat ini seketika. Lazimnya, umur bermula setahun setengah dan berakhir secara spontan menjelang umur empat tahun.
Lelaki adalah tiga kali lebih kerap memperoleh tabiat ini daripada perempuan. Kanak-kanak yang berusia lebih empat tahun dan masih mempunyai tabiat ini haruslah dibawa menjalani pemeriksaan lanjut.

Selalunya, kanak-kanak meninggalkan tabiat ini dengan sendiri ketika membesar tetapi kita boleh cuba mempercepatkan proses ini dengan mengamalkan cara sambil lewa bila ia berlaku.
Tabiat ini menjadi satu cara kanak-kanak ‘mengugut’ untuk mendapatkan sesuatu atau menarik perhatian. Apabila ia berlaku, kita mesti jangan mengalah dan mengikut segala rentak dan kemahuan mereka.
Pada ketika ia berlaku, kita mesti cuba mengalihkan perhatian kanak-kanak tersebut dan mengubahnya ke aktiviti lain.
Mujurnya, kanak-kanak yang sihat tidak akan mengalami apa-apa kecederaan yang serius dengan tabiat ini.
Rasa kesakitan mengelakkan mereka dari menghentak dengan kuat dan kanak-kanak bawah tiga tahun tidak boleh menghasilkan tekanan atau tenaga yang cukup untuk mendapatkan kerosakan otak.

Kepala kanak-kanak ini boleh menahan trauma yang menjadi kebiasaan ketika belajar jalan dan memanjat. Kanak-kanak sihat yang menghantuk atau menghentakkan kepala akan membesar menjadi remaja yang normal.





* Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Pakar Shah Alam, Dr. Mohd. Nazir Abu Bakar.

-utusan malaysia 14/01/2007

Kesihatan Bayi & Kanak-Kanak

Masalah kulit bayi sensitif


SOALAN: Anak saya sering mengalami kegatalan pada kulit. Saya telah membawanya berjumpa dengan doktor dan diberitahu bahawa dia mempunyai kulit yang sensitif. Soalan saya, apakah saya perlu menggunakan sabun khas dan apakah krim yang sesuai saya gunakan?

JAWAPAN: Jika kulit anak anda sensitif, jangan gunakan sebarang sabun atau sapuan yang mengandungi wangian atau bahan pewarna yang tidak perlu. Terdapat banyak jenis sabun khas untuk kanak-kanak di pasaran. Cuba gunakan sabun yang mempunyai perkataan “Hipoalergenik” atau dalam bahasa Inggeris, “Hypoallergenic” kerana sabun-sabun tersebut mempunyai ramuan yang dibuktikan tidak menyebabkan alahan atau kesan-kesan alergi.

Kulit anak yang kering akan menjadi gatal. Keadaan kulit yang kering ini disebabkan oleh ekzema atau alahan. Kulit kering ini perlu disapu pelembap kulit seperti krim aqueous. Krim ini boleh juga digunakan sebagai sabun jika sabun lain menyebabkan kulit lebih teruk lagi. Apabila kulit anak kelihatan merah, maka mungkin juga doktornya memberi ubat krim steroid untuk mengurangkan radang kulit sehingga pulih. Kegunaan krim steroid ini hanya buat masa yang singkat dan dengan perhatian rapi oleh pakar kulit atau pediatrik. 

Kegatalan kulit mungkin juga disebabkan oleh alahan kepada makanan tertentu. Adakah kegatalan tersebut lebih teruk pada waktu-waktu yang tertentu, ataupun selepas memakan sesuatu jenis makanan? Semua faktor ini harus diperhatikan supaya anak anda selesa dan sekiranya terdapat alahan atau masalah yang lain, masalah tersebut tidak dibiarkan berkekalan. Untuk bayi, adalah baik jika mereka diberi susu ibu dari awal lagi untuk mengelakkan daripada alahan kulit.

Susu ibu pelihara kulit 

SOALAN: Bayi saya mempunyai masalah kulit yang sensitif di mana mudah mendapat ruam di kulitnya. Apakah nasihat anda untuk saya mengatasi masalah-masalah ini?

JAWAPAN: Kulit yang sensitif boleh dicegah dengan memberi anak susu ibu dari mula lahir dan selama yang boleh. Kulit atopi atau alahan ini perlu diperiksa untuk menentukan tidak disebabkan oleh penyakit lain seperti kulat Candida albicans atau kudis buta. Jika betul-betul dipastikan kulit anak sensitif dan terdapat kawasan-kawasan kulit yang kering, maka krim pelembap kulit perlu digunakan. 

Ada kalanya, krim steroid seperti hydrocortisone 1% diperlukan. Jika digunakan, krim ini tidak boleh digunakan berpanjangan kerana kesan sampingan steroid boleh berlaku pula. Sabun yang hipoalergenik serta mengandungi pelembap juga perlu untuk kulit anak yang sensitif.

Bayi muak perkara biasa 

SOALAN: Bayi saya berumur empat bulan. Masalahnya selepas menyusu dia akan muntah semula (muak). Mengapakah ini terjadi? Saya telah bertanya kepada doktor, namun jawapannya ia adalah normal. Adakah benar perkara ini normal bagi bayi?

JAWAPAN: Muak atau muntah adalah perkara yang biasa didapati pada bayi berusia enam bulan ke bawah. Walau bagaimanapun, bayi tidak patut muntah tiap-tiap kali selepas menyusu dan berat badannya tidak patut menurun. Muntah di kalangan bayi berlaku disebabkan oleh “injap” di antara esofagus (usus dari mulut ke perut) dan perut kerap kali terbuka memaksa kandungan perut naik ke esofagus dan kemudian ke mulut. Keadaan ini tidak menjadi masalah jika berat bayi meningkat seperti biasa.

Tanda-tanda yang merunsingkan ialah jika:

1. Bayi muntah tiap-tiap kali selepas menyusu.
2. Berat badannya tidak meningkat seperti biasa mengikut carta normal.
3. Mengeluarkan cecair hempedu berwarna kuning atau hijau dalam muntahnya.

Jika anak muntah, pastikan dia tidak berbaring terlentang kerana ini boleh melibatkan bahan muntahnya masuk ke saluran pernafasan. Jika kerap sangat berlaku, adalah baik jika bayi terlibat ditidurkan mengiring untuk mengelak daripada aspirasi ke paru-parunya.

Punca bayi sembelit

SOALAN: Saya mempunyai anak berusia tiga bulan lebih dan menyusukan bayi saya selepas pulang dari bekerja. Masalah saya, anak saya sukar untuk membuang air besar iaitu dua hari sekali dan setiap kali hendak buang air, bayi saya mesti menangis sakit perut malah selalu kembung perut. Soalan saya, adakah disebabkan susu formula yang diberikan yang membuatkan bayi saya susah untuk membuang air dan sakit perut?

JAWAPAN: Ada kalanya apabila bayi menukar susu daripada susu ibu kepada susu formula, masalah sembelit berlaku. Ada banyak sebab kenapa ini berlaku - zat besi dalam susu formula, komposisi susu tersebut, cara membancuh, dan sebagainya. Jika bayi diberi susu formula, puan boleh cuba tukar ke formula berjenama lain. Walaupun semua susu formula mempunyai isi kandungan yang hampir sama, ada sedikit perbezaan yang boleh melibatkan bayi menjadi sembelit. Jangan bancuhkan susu kurang pekat kerana ini akan menjadikan keadaan susah lagi dan boleh melibatkan tumbesaran bayi. Jika bayi masih lagi buang air besar yang keras dan susah keluar, cuba berikan jus prun satu atau dua kali sehari.

Jika bayi buang air besar dua hari sekali dan tidak meneran atau najisnya bukan keras atau berketul-ketul, jangan bimbang.

Jangan berlebihan dos

SOALAN: Apabila demam, anak saya (tiga tahun dan satu tahun tujuh bulan) akan mengalami suhu badan yang panas, kebiasaan bapanya akan memasukkan ubat demam melalui dubur sebelum ke klinik mendapatkan ubat makan.

Apakah risiko ubat demam dubur jika kerap digunakan kepada anak setiap kali mereka demam?

JAWAPAN: Ubat demam yang dimasukkan ke dalam dubur ialah ubat parasetamol atau diclofenac. Ubat-ubat ini boleh digunakan dengan selamat jika anak enggan makan ubat atau dalam keadaan kecemasan di mana suhu badan anak perlu diturunkan secepat mungkin supaya tidak menjadi sawan demam. Kesan sampingan jarang berlaku asalkan dosnya tidak melebihi preskripsi doktor anak anda. Pastikan ubat tersebut tidak dipaksa ke dalam lubang dubur anak kerana ini boleh melukakannya. Masukkan dengan sedikit air atau jel supaya tidak terluka kawasan anus anak.

Soalan-soalan dijawab oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik dan Presiden, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)


Selamat Tahun Baru Semua..
Semoga Tahun 2012 Membawa Sinar Kejayaan & Kebahagiaan Dalam Kehidupan Kita
Insyaallah......